Studio Animasi UMS Berjaya Perolehi Geran RM800 Ribu



Studio Animasi

Rabu, 23 Januari - Usaha Sekolah Pengajian Seni (SPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menjalinkan kerjasama dengan North Borneo Media Sdn Bhd melalui Memorandum Persefahaman (MoU) pada awal tahun 2012 untuk menghasilkan animasi 3D pertama di Sabah akhirnya memasuki fasa baru apabila berjaya mendapatkan suntikan dana berbentuk geran industri  kreatif sebanyak RM800,000.00 daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).

Pensyarah SPS, Dr. Zairul Anuar Md. Dawam memberitahu bahawa geran RM800 ribu tersebut telah memberi nafas baru kepada studio animasi yang ditubuhkan di Sekolah Pengajian Seni untuk meneruskan proses pembikinan animasi 3D bertajuk The Blooms yang sebelum ini menghadapi masalah kewangan bagi membiayai kos sumber manusia seperti juru animasi yang terdiri daripada bekas pelajar UMS dan juga pelajar-pelajar sedia ada.

Katanya, melalui geran tersebut pihaknya akan memanggil semula bekas pelajar UMS yang sebelum ini terlibat sama dalam usaha awal penubuhan studio tersebut untuk bersama-sama kembali membangunkan industri kreatif di Sabah terutama dalam bidang animasi.

“UMS melalui Sekolah Pengajian Seni dan Sekolah Sains dan Informatik Labuan (SSIL), sebelum ini telah menghasilkan ramai pelajar yang berbakat dalam bidang animasi. Namun disebabkan negeri Sabah belum mempunyai industri kreatif animasinya sendiri, kebanyakan mereka telah berhijrah ke negeri-negeri lain untuk bekerja. Malah ada di antara mereka yang tidak meneruskan minat dan kepakaran mereka dalam bidang animasi kerana menceburi bidang pekerjaan lain yang tidak berkaitan,” katanya.

Justeru kata Dr. Zairul, menyedari hakikat tersebut, SPS dan  syarikat produksi filem Sabah iaitu North Borneo Media Sdn Bhd telah mengambil inisiatif bagi  menubuhkan studio animasi yang berfungsi sebagai pusat inkubator, penyelidikan dan inovasi dalam  bidang animasi. 

Katanya, sebagai pusat inkubator, studio tersebut  bertujuan melatih para pelajar dan bekas pelajar UMS untuk terlibat dalam bidang keusahawanan kreatif iaitu dalam bidang animasi secara komersial dan menjadikan bidang tersebut sebagai kerjaya yang menjamin masa depan.

“Di samping sebagai pusat latihan, pengajaran dan pembelajaran, studio ini juga akan menjadi pusat penyelidikan dan inovasi dalam bidang animasi 3D. Sebagai contoh studio animasi SPS telah menghasilkan sebuah siri pilot animasi 2D bertajuk Antenom yang dihasilkan melalui geran penyelidikan Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) yang diperolehi oleh SPS dan diketuai oleh pensyarahnya, Encik Teddy Marius Soikun,” jelas Dr. Zairul.

Katanya lagi, melalui penyelidikan tersebut, pihaknya telah mentransformasikan cerita rakyat Sabah dalam bentuk animasi sebagai medium perpaduan dan penerapan semangat patriotisme di kalangan para pelajar.

“Usaha ini juga seiring dengan saranan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, YB Dato' Seri Utama Dr.Rais Yatim yang menyeru agar cerita-cerita rakyat daripada pelbagai suku kaum di Sabah diangkat menjadi sumber cerita bagi siri-siri animasi tempatan,” katanya.    

Menerangkan peranan yang dimainkan,  Dr. Zairul lagi memberitahu bahawa SPS dan SSIL, akan berperanan menyediakan tenaga animasi yang terdiri daripada bekas pelajarnya untuk bekerja di studio tersebut. Manakala North Borneo Media pula akan membantu aspek pengurusan studio dan berusaha mengkomersialkan produk animasi 2D dan 3D yang dihasilkan.

Bagi menjadikan negeri Sabah sebagai hab baru industri kreatif animasi, Dr. Zairul berharap usaha awal yang telah dimulakan oleh SPS, UMS dan North Borneo Media juga akan mendapat sokongan dan bantuan daripada agensi-agensi lain yang berkaitan dengan pembangunan industri kreatif di Sabah.

Melalui kerjasama yang lebih komprehensif bersama agensi-agensi yang berkaitan di bawah kerajaan negeri, beliau yakin usaha mengembangkan industri kreatif di Sabah akan menjadi lebih pantas, sekali gus mampu menyediakan peluang pekerjaan baru kepada para belia tempatan dan akan menjadi  sumber penjanaan pendapatan kepada kerajaan negeri.

Malah di kesempatan ini Dr. Zairul yang mewakili pihak pengurusan studio animasi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada beberapa tokoh  pemimpin di Sabah yang selama ini telah membantu mereka dalam usaha untuk mendapatkan geran industri kreatif daripada pihak KPKK.

“Kami yakin, melalui kerjasama dan perkongsian pintar antara SPS, UMS dan North Borneo Sdn Bhd serta dibantu oleh badan-badan di bawah KPKK seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta sokongan dan bantuan daripada agensi di bawah kerajaan negeri akan menjadikan negeri Sabah sebagai hab baru dalam bidang industri kreatif animasi di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya mengakhiri perbualan.



 Sumber : Alinah Osman, SPS


No comments:

Post a Comment