Bukanlah sesuatu yang pelik apabila jatuh cinta kepada kawan sendiri. MURSHID EUNOS meneliti kisah dua pembaca Gen-Y.
Kebiasaannya kita akan menjadi rapat dengan seseorang yang dianggap teman kerana berkongsi banyak minat yang sama. Akrab yang awalnya sekadar teman biasa selalunya akan melekat hingga menjadi sahabat setia. Ke mana saja bersama dan jika ada sebarang perancangan, sudah tentu kita tidak sekali terlupa untuk membawa sahabat bersama. Itulah yang dikatakan sahabat.
Tapi ada bezanya antara bersahabat sama jantina seperti kebanyakannya dengan yang berpasangan, lelaki dan perempuan. Jika yang lelaki kebiasaannya berkawan rapat kerana bermain futsal bersama, gemar lepak menonton bola sepak ataupun aktiviti lain. Dan gadis pula kerana sama kolej atau sekolah dan kemudiannya kebetulan minat pada sesuatu perkara yang sama.
Bagaimana pula sahabat antara lelaki dan perempuan? Memang tidak dinafikan ramai. Si gadis suka merujuk kepada kawan lelakinya setiap kali ada masalah dengan kekasih dan begitu juga sebaliknya.
Hubungan mereka lebih santai dan selamba kerana selalunya si lelaki tidak mudah terasa hati dan gadis pula bijak mengambil hati. Lantas hubungan itu lebih terancang dan sempurna.
Lecehnya apabila salah satu daripada mereka mula menaruh hati. Kalau kepada orang lain mudah sikit ceritanya, tapi sekiranya dengan kawan baik sendiri, bermulalah konflik dan drama.
Mujur jika kebetulan pihak yang satu lagi membalas. Kebetulan kekosongan cinta di hati, lekas kawan baik mengisinya.
Banyak kelebihannya memilih kawan sebagai kekasih mahupun teman hidup. Rata-rata beranggapan melalui fasa kawan, kita akan mengenali lebih mendalam pasangan. Maksudnya kita sudah mengenali hati budi masing-masing ketika masih status sahabat.
Kalau dilihat dalam drama televisyen sekalipun, ia seperti skrip yang gemar dimainkan dalam cerita cinta. Tapi inilah realitinya bagi golongan muda masa kini. Walaupun banyak orang yang beranggapan begitu, masih ada yang tak boleh menerima kenyataan kawan selepas itu bercinta sebab merasakan geli dan susah untuk membezakan situasi bila bercinta dan berkawan.
Maklumlah bila sudah menjalin hubungan, banyak benda yang berubah. Kalau dulu makan cili melekat di gigi tak kisah tapi sekarang adab perlu dijaga dengan tertib apabila bersama. Mungkin tidak memberi masalah kepada mereka yang memang sudah terjerat dengan situasi ini kerana lain orang, lain pendapat dan langkahnya.