GENG MAK AYAH
(myMetro)
“Anak muda mahukan ibu bapa yang boleh jadi ‘geng’. Senang diajak berbincang dalam semua perkara termasuk bab awek, minat, hobi dan sebagainya. Tapi, kebanyakan remaja menganggap ibu bapa mereka ibarat cikgu disiplin sekolah. Apa puncanya? Luahan rasa ini dibincangkan dengan SHUHADA MANSOR.
Hubungan remaja dengan ibu bapa selalu bermasalah. Ada yang menganggap, ibu bapa terlalu tegas dan susah nak faham kehendak anak walaupun dah tahu zaman remaja adalah fasa memberontak. Anak muda perlukan ibu bapa untuk bimbing dan bentuk mereka jadi manusia berguna.
Peranan ibu bapa sendiri untuk faham dan tahu kawal emosi anak supaya tak lari daripada sasaran sebenar cukup penting. Sikap, tingkah laku, cara berkomunikasi, waktu bersama, semua itu perlu diambil kira.
Kehidupan di bandar dan kampung memang berbeza. Perbezaan sekeliling antaranya faktor kepesatan teknologi, pembangunan, hiburan, bahkan pergaulan sedikit sebanyak membentuk identiti remaja. Kalau di kampung, anak muda akan jadi lebih hormat, dengar cakap, takut untuk bantah malah ada yang sanggup tolak kemahuan berhijrah ke ibu kota semata-mata untuk bantu ibu bapa. Secara tak langsung, masalah remaja juga kurang berlaku.
Tapi berlainan dengan anak muda yang tinggal di kota. Bukan nak label mereka tak tahu hormat ibu bapa, tapi disebabkan membesar dengan gaya hidup urban, dikelilingi kemajuan dan kepelbagaian budaya Timur campur Barat, membuatkan mereka ingin mencuba dan ikut trend semasa. Ada yang tak terjebak dengan perkara negatif, cuma inginkan hiburan tapi oleh kerana ibu bapa tak memahami sepenuhnya kehendak anak, berlaku konflik keluarga.
Mungkin ‘klise’ jika dikatakan bapa ibarat tulang belakang dalam hala tuju keluarga. Tapi sekiranya si tulang ini terlalu fokus sesuatu dan tanpa sedar dia sudah membelakangkan orang lain yang sepatutnya perlu diberi perhatian, apa gunanya? Tak guna cipta impian nak tinggal dalam rumah besar kalau keluarga sendiri porak peranda.
Ibu pula umpama pembantu nakhoda. Perlu tahu tugas sendiri dan bagi sokongan kepada bapa supaya keluarga sentiasa di laluan betul. Imbang kapal dengan teknik terbaik supaya tak karam. Tapi bagaimana jika ibu sendiri terlalu bersikap melindungi tahap melampau.
Tak dinafikan, ambil tahu perihal anak memang bagus tapi kalau sampai dengan siapa anak nak melepak, topik apa akan dibincangkan, berapa lelaki dan perempuan, di mana, sampai jam berapa, pasti si anak akan rasa rimas. Tak mustahil juga anak akan malu apabila dicop ‘anak mak’ dengan kawan.
Untuk jadi ibu bapa yang ‘cool’, cuba berperwatakan tenang, luaskan topik untuk berborak dengan anak, bukan hanya tertumpu kepada pelajaran atau perkara serius, kongsi minat seperti mengumpul kasut bola dan sebagainya. Nak jadi lebih ‘awesome’? Ikut anak anda ke gig, konsert akustik, program seni dan sebagainya.
ibu bapa skrg mmg ramai yg busy dgn kerja..tu sbb anak2 ramai yg rasa kurang ksih syg...so, parents kena alert dgn kehendak ank2 kan..:D
ReplyDeleteno matter what, tanggungjawab mak ayah takboleh tinggal :) kalau tak, innalillah memang rosak anak-anak. maaf cakap ^^
ReplyDelete