DERMA DARAH TINGKATKAN TENAGA




BUKANLAH menjadi satu perbandingan yang luar biasa apabila bekalan darah dikaitkan dengan kemalangan di musim perayaan.
Krisis bekalan darah yang meruncing ini sering diuar-uarkan oleh Pusat Darah Negara (PDN) terutamanya ketika musim perayaan dan perihal ini ada kebenarannya apabila ramai mangsa kemalangan yang memerlukan bekalan darah dalam keadaan tertentu. Walaupun darah tidak menjadi sebahagian daripada bahan kawalan yang mendapat label ‘controlled item’ hakikatnya, ia sentiasa tidak mencukupi kerana permintaan yang tinggi serta jangka hayatnya yang terhad. Dalam situasi ini, masyarakat Malaysia harus sedar akan kepentingan menderma darah demi menjaga taraf kesihatan individu dan komuniti. Darah bukan saja boleh menyelamatkan mangsa kemalangan tetapi, juga penting untuk merawat penyakit berkaitan darah yang lain seperti Talasemia, Hemofilia dan Luekimia.

Secara kolektifnya, amalan menderma darah dianggap amalan terpuji, tetapi, bukan semua yang sanggup melakukannya. Ada segelintir individu sanggup melarikan diri kerana takut akan jarum besar yang bakal digunakan. Ini juga antara sebab yang membantutkan kemahuan seseorang dalam menjalankan usaha murni demi menyelamatkan golongan yang memerlukan. Ironinya, banyak kempen kesedaran yang dilaungkan untuk menyedarkan masyarakat, namun segelintir masyarakat yang masih memandang mudah terhadap usaha terbabit.

Sehubungan itu, MNRB Holdings Berhad, syarikat korporat yang berdiri teguh selama 40 tahun terpanggil untuk menganjurkan Kempen Derma Darah MNRB di ibu pejabatnya di Damansara Heights. Kempen yang ke-10 ini menyasarkan bekalan untuk keperluan di musim perayaan yang bakal tiba. Kempen bertemakan ‘Derma Darah Menyelamatkan Nyawa’ merupakan acara tahunan Kumpulan MNRB sejajar dengan Tanggungjawab Sosial Korporat MNRB yang memfokuskan kepada tahap kesihatan dan kesejahteraan kakitangan serta masyarakat sekeliling.

Selain ingin membantu golongan yang memerlukan, ia juga dapat menggalakkan kakitangan serta masyarakat setempat dan meningkatkan tahap kesedaran mereka akan kepentingan menderma darah. Darah yang disumbangkan akan disaring dulu untuk memastikan darah penderma itu bersih dan selamat. Ia akan diasingkan mengikut beberapa kategori yang mempunyai fungsi tersendiri dalam membantu menyelamatkan nyawa seseorang.

Satu unit darah yang berjumlah antara 450 mililiter mampu menyelamatkan mangsa demam denggi, mangsa kemalangan, ibu yang tumpah darah ketika bersalin dan pesakit yang mempunyai penyakit berkaitan darah seperti Talasemia dan Leukimia. Seorang penderma boleh menyelamatkan sehingga tiga nyawa dengan menderma kurang dari satu pin darah. Darah itu pula dari jenis darah utuh (whole blood) terdiri daripada sel darah merah, plasma, platelet, ‘cryoprecipitate’ dan ‘cryosupernatant’. Darah kategori AB+, AB-, A+, A-, B+, B-, O+ dan O pula diperlukan hampir saban hari bagi menyelamatkan setiap nyawa.

Namun, masih ramai di antara kita yang menganggap amalan menderma darah sebagai ‘taboo’. Ini kerana terdapat beberapa pendapat yang mengatakan seseorang itu akan mudah dijangkiti penyakit dan kenaikan berat badan yang mendadak selepas menderma darah. Pendapat seumpama ini disangkal kebenarannya kerana sebenarnya ia meningkatkan tahap kesihatan seseorang kerana darah baru akan dihasilkan seterusnya menyebabkan tubuh seseorang itu lebih segar dan bertenaga.

No comments:

Post a Comment